Wednesday, November 14, 2007

Diplomasi Penyapu Berjaya Tingkatkan Kecekapan

Jika dibaca dalam media massa arus perdana mahu pun media internet seperti Malaysiakini.com, Harakahdaily dan lain-lain forum, kecekapan agensi kerajaan, Pihat Berkuasa Tempatan dan Pejabat tanah sering diperkatakan.

Berbagai usaha telah dijalankan agar pihak berkuasa tempatan meningkatkan kecekapan perkhidmatan. Perubahan sistem, kursus kerja, kursus motivasi dan motto kerja diadakan. Namun sebahagiannya tidak berubah.

Berdasarkan kegagalan inilah akhirnya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir bin Toyo membuat pengumuman pada Januari 2007, bahawa mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat tanah dan daerah (PTD) yang gagal memenuhi sasaran kerajaan akan diberi hadiah penyapu.


Justeru kerana khuatir dihadiahkan penyapu, maka berlumba-lumbalah PBT dan pejabat tanah bekerja keras memenuhi sasaran kutipan cukai.

Pada bulan Januari lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat tanah dan daerah (PTD) di negeri itu berusaha membaiki prestasi masing-masing.

Beliau memberi amaran mana-mana PBT dan PTD yang gagal berkhidmat dengan baik termasuk mengutip cukai akan dihadiahkan penyapu sebagai tanda simbolik untuk mereka membuat ‘pembersihan pejabat’ bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Ketika itu banyak pihak menganggap amaran beliau hanya sebagai sesuatu yang melucukan. Namun apabila dimaklumkan ia akan dilaksanakan, kedua-dua PBT ini telah berjaya meningkatkan kutipan mereka dengan drastik pada suku kedua 2007.

Pada majlis Anugerah Khas Prestasi Kutipan Hasil Negeri Selangor 2006 yang diadakan di Shah Alam, Mohamad Khir mengotakan janjinya untuk menghadiahkan ‘penyapu’ kepada Yang Dipertua PBT dan ketua jabatan yang gagal menunjukkan prestasi cemerlang.

Penerima pertama ‘penyapu’ itu ialah Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Selangor serta Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

PTD Hulu Selangor dan MDHS hanya memungut 55 peratus cukai semasa dan 56 peratus cukai tertunggak, manakala MDHS memungut 66.9 peratus hasil cukai semasa dan 23.4 peratus cukai tertunggak tahun lalu.

Ini adalah masalah serius. Kegagalan mengutip lebih separuh pendapatan menyebakan kerajaan negeri terpaksa meminjam sumber luar.

Seperti ditegaskan oleh Mohamad Khir, pemberian penyapu itu bukan untuk menjatuhkan maruah tetapi bagi membersihkan sikap buruk dan amalan negatif PBT dan jabatan yang tidak mencapai tahap maksimum kualiti perkhidmatan yang telah ditetapkan.

Bagi jabatan yang cemerlang dan mencapai sasaran, kakitangannya diberi insentif seperti lawatan ke luar negara, katanya.

Tujuh PTD dan PBT mencatatkan kutipan melebihi sasaran ditetapkan tahun lalu didahului PTD Sepang yang mengutip 112 peratus hasil cukai semasa dan 73 peratus cukai tertunggak diikuti PTD Hulu Langat, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Semua jabatan dan agensi terbabit dibawa mengadakan lawatan ke Melbourne, Australia, selama lima hari pada pertengahan April lalu sebagai insentif.

Justeru ia bukan sekadar memberi pengajaran kepada yang malas tetapi juga memberi ganjaran kepada yang rajin.

Tampaknya diplomasi penyapu ini telah berjaya dalam meningkatkan kecekapan walaupun mungkin secara tidak iklhas.

Berbekalkan hanya lebih kurang RM 3 untuk sebatang penyapu, Mohamad Khir berjaya mengubah kecekapan kerja sebahagian PBT.

Nota: Ubahsuai dari rencana selangordaily.com yang berjudul: Antara Diplomasi Penyapu dan Parti Penipu

No comments: