Thursday, May 28, 2009

Pengharaman sepenuhnya bukan satu jawapan


"Mereka harus diajar bahawa arak tidak baik untuk kesihatan dan keburukan pengambilan berlebihan," itulah kata bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Dialog itu yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Selangor dihalakan bagi mendengar perkara tersebut sebelum satu garis panduan tentang penjualan alkohol dilaksanakan di negeri itu.

Beliau juga menyatakan pendidikan dan penguatkuasaan, dan bukannya pengharaman sepenuhnya adalah kunci kepada menyelesaikan masalah-masalah yang timbul akibat pengambilan alkohol secara berlebihan.

Pendidikan tentang keburukan pengambilan alkohol harus diperluaskan kepada kedua-dua remaja Islam dan bukan Islam.

Dr Mohd Khir juga menerangkan sewaktu pentadbirannya dulu, dari segi penguatkuasaan, terdapat penguatkuasaan ketat tentang penjualan alkohol kepada remaja di bawah umur dan orang Islam dan mana-mana kedai yang didapati menjual alkohol kepada orang Islam, lesen perniagaan mereka akan ditarik balik secepat mungkin.

Ini adalah isu yang amat sensitif dan tidak boleh ada pengharaman sepenuhnya kerana harus menjaga sensitiviti orang bukan Islam.

Tetapi beberapa tempat seperti Bangi di mana terdapat majoriti penduduknya adalah orang Islam, kita tak benarkan penjualan alkohol dan beer kerana tidak ada sebab kenapa sesiapa di sana ingin membeli produk-produk tersebut.

Menjawab persoalan samada kajian dilakukan untuk menentukan populasi sesuatu kawasan dan jika pengharaman penjualan alkohol diperlukan beliau menjawab ianya bergantung kepada budi-bicara penguatkuasaan tempatan.

Dr Mohd Khir juga menerangkan mereka perlu melihat kawasan mana yang terlibat di Shah Alam untuk mengelakkan sensitiviti orang bukan Islam.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) juga telah menghantar surat memaklumkan pengharaman penjualan minuman beralkohol dan beer pada 13 Mei kepada 7-Eleven convenience shopping Sdn Bhd di stor-stor mereka di Seksyen 1-25 Shah Alam, Bandar Baru Sungai Buluh (Seksyen U20) dan TTDI Jaya (Seksyen U2).

Thursday, May 21, 2009

Tindakan membalas dendam Pakatan Rakyat tidak professional


Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Selangor (JKHK) telah membuat satu tindakan yang tidak bertamadun dengan menggantung Ketua Pembangkang, YB Dato' Seri Dr. Mohamad Khir bin Toyo selama setahun dari menghadiri sidang DUN untuk dua kesalahan.

Teng Chang Kim, Pengerusi Speaker DUN Selangor, memutuskan Dr, Khir bersalah kerana KONONNYA membuat kenyataan menghina kewajaran kewujudan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) berdasarkan kenyataannya di media dan dilaman blog beliau.

Itu adalah kesalahan yang pertama yang didakwa oleh Teng.

Kesalahan kedua ialah kerana tidak menghadiri pendengaran awam yang dikendalikan oleh Selcat pada bulan Mac baru-baru ini.

Bagi setiap kesalahan itu Dr Khir digantung enam bulan.

Yang anehnya, mungkinkah ianya satu tindakan "membalas dendam" terhadap Dr. Khir kerana kenapa Ketua Pembangkang itu sahaja yang digantung sedangkan orang lain juga membuat kritikan terhadap Selcat yang mana pendengaran awam tentang penggunaan wang penajaan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) itu bukannya dihadiri oleh ramai pun orang awam.

Nyata sekali dengan tindakan terbaru mereka, tumpuan dan fokus mereka adalah lebih dalam mencari kesilapan dan kesalahan kerajaan terdahulu sehinggakan mengetepikan banyak lagi hal-hal rakyat dan pentadbiran yang menuntut amanah dan tanggungjawab mereka.

Nyata mereka tidak boleh bersikap professional dalam pentadbiran dan nampaknya mencari-cari jalan untuk menjatuhkan maruah kerajaan BN yang sebelum ini mentadbir Selangor.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berserta empat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) iaitu Adun Dengkil, Datuk Marsom Paing; Adun Sabak, Datuk Warno Dogol; Adun Batang Kali, Isa Abu Kassim; dan Adun Hulu Bernam, Datuk Mohd Idris Abu Bakar yang turut didapati bersalah dan akan menghadapi hukuman digantung dari menghadiri sidang DUN selama enam bulan serta dilucutkan elaun dan keistimewaan mereka sebagai Adun turut dilucutkan kerana KONONNYA mengeluarkan kenyataan mengkritik, menyentuk hak dan kebebasan Selcat.

Keputusan itu ibarat tiba di dada diusungkan, tiba di perut dikempiskan.

Jelas ini adalah balas dendam terhadap apa yang pernah berlaku ke atas Teng Chang Khim yang pernah digantung tugas sebagai Adun selama 30 bulan serta dilucutkan segala elaun dan keistimewaan pada 2005 kerana membuang buku Peraturan Mesyuarat ke dalam tong sampah pada sidang DUN.

Dr Khir berserta dengan 4 orang Adun itu juga telah merujuk kepada peguam tentang tindakan speaker DUN Selangor.

Wednesday, May 20, 2009

Tahan pemimpin Hindraf di bawah ISA


Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo selaku Ketua Pembangkang Selangor meminta agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) menahan semula pemimpin pertubuhan haram Hindraf, P. Uthayakumar di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh kerana dia terus mempermainkan undang-undang negara.

Tindakan itu sebagai langkah melindungi undang-undang dan menjaga kestabilan rakyat di negara ini.

Uthayakumar juga menunjukkan kelakuan kurang ajar dan tidak mahu mengikut undang-undang dengan mengugut mahu mengadakan protes jalanan jika kerajaan tidak menarik balik arahan yang memerlukannya membuat laporan kepada Lembaga Penasihat ISA.

Tindakan itu seperti lempar batu sembunyi tangan dan amat tidak bertanggungjawab.

Malah ianya membuktikan pemimpin pertubuhan haram itu cuba mempermainkan serta memperlekehkan pelaksanaan undang-undang di negara ini.

Beliau mengulas tindakan Uthayakumar yang merupakan bekas tahanan ISA yang masih berdegil dan mahu menganjurkan perhimpunan haram Jun ini jika kerajaan tidak menarik balik syarat mewajibkan pemimpin pertubuhan haram itu melapor kepada Lembaga Penasihat ISA.

"Saya harap KDN mengambil tindakan terhadap beliau serta mana-mana individu lain yang cuba mengambil tindakan seperti itu, dalam soal undang-undang semua pihak kena patuh tidak kira Hindraf, kerajaan dan semua rakyat."

"Saya khuatir jika tiada tindakan tegas, ia mengundang lebih banyak pihak tidak bertanggungjawab mencabuli dan tidak menghormati undang-undang.".

"Kita tidak boleh mempergunakan undang-undang untuk mencapai matlamat politik tertentu dan ia merupakan satu perkara yang perlu dihormati oleh semua pihak,".

Dalam masa yang sama, Datuk Seri Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang memberi peringatan kepada mana-mana individu termasuk anggota Hindraf agar tidak menjadikan undang-undang sebagai alat untuk kepentingan tertentu termasuk politik.

Uthayakumar ditahan bersama dengan dua lagi pemimpin kanan pertubuhan haram, M. Manoharan dan K. Vasantha Kumar di bawah ISA pada Disember 2007 tetapi dibebaskan 9 Mei lalu.

Wednesday, May 13, 2009

Teng speaker DUN yang begitu angkuh!


"I can punish anyone. I can be the complainant, the prosecutor and also the judge in this case. All this is allowed according to the law,”

Demikian kata YB Teng Chang Kim ketika ditanya oleh pemberita mengenai sikap beliau yang menjadi pendakwa dan menjadi hakim untuk menggantung lima ADUN BN Selangor yang dituduh menghina DUN Selangor.

Angkuh betul wakil dari DAP itu yang juga selaku Speaker DUN Selangor yang telah mengarahkan Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan 4 lagi ADUN BN yang lain iaitu, Datuk Marsum Paing (Dengkil), Datuk Warno Dogol (Sabak),
Datuk Mohamed Idris Abu Bakar (Hulu Bernam) dan Mohd. Isa Abu Kassim (Batang Kali) agar tidak membuat sebarang kenyataan akhbar berhubung Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN).

Hari ini Jawatankuasa tersebut memanggil 5 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) atas dakwaan menghina DUN Selangor kerana didapati telah melanggar hak kebebasan Dewan apabila memberi keterangan media yang menyentuh tentang Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) baru-baru ini agar memberi keterangan dan membela diri.

Amat menghairan dan nampak berat sebelah kerana Teng sebelum ini telah menggunakan SELCAT dan kedudukannya sebagai Speaker DUN untuk memburukkan wakil rakyat BN secara terbuka.

Tuesday, May 12, 2009

Adakah pilihan raya negeri wajar?


Pendapat Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang telah terpapar di dalam blognya tentang mengadakan sidang DUN tergempar bagi menangani krisis di negeri Perak adalah satu cadangan yang amat baik.

Ini kerana ianya lebih menekankan kepada pertikaian undang-undang daripada mengadakan pilihan raya yang mungkin mencetuskan krisis keselamatan di Perak.

Walaubagaimanapun, keputusan Mahkamah Tinggi mengekalkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak harus dihormati.

Tiga cara yang ditentukan oleh keputusan Mahkamah itu sebagai cara seseorang Menteri Besar hilang jawatan:

i- Beliau meletak jawatan
ii- Dewan Undangan Negeri Dibubarkan
iii- Undi Tidak Percaya dalam Sidang DUN

Kaedah terbaik yang boleh dilakukan adalah menerusi Usul Undi Tidak Percaya atau Usul Undi Kepercayaan terhadap Menteri Besar apabila Nizar tidak mahu meletak jawatan dan Tuanku Sultan tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Semangat demokrasi yang kononnya dikatakan oleh penyokong Pakatan Rakyat telah musnah oleh Barisan Nasional di Perak musnah sebaik sahaja Nizar hilang majoriti sokongan ADUN Perak dan enggan meletak jawatan.

Oleh itu, secara peribadinya Dr Khir berpendapat Tuanku Sultan Perak bertindak betul dengan menukar Menteri Besar Perak kepada seorang yang baginda percaya mendapat sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri untuk membubarkan DUN.

Tempoh kurang dari separuh penggal menyebabkan Tuanku Sultan enggan membubarkan DUN lagipun apakah politik akan stabil atau berkocak terus jika keadaan sama jika mana-mana parti mendapat lebihan dua atau tiga kerusi.

Dan tak payahlah nak menyalahkan Tuanku Sultan Perak atau Barisan Nasional berkenaan semangat demokrasi dalam krisis di Perak kerana semangat itu telah dimusnahkan oleh keengganan Menteri Besar yang menjadi minoriti di DUN Perak untuk melepaskan jawatan.

Jika wakil rakyat dari pakatan rakyat itu juga menghormati semangat demokrasi dan semangat undang-undang tubuh negeri, jika Tuanku tidak memperkenankan pembubaran DUN, maka Menteri Besar dan para EXCOnya harus melepaskan jawatan mereka.