Monday, December 22, 2008

Kerajaan Pakatan Rakyat harus adil, jangan pilih bulu!

Kerajaan Negeri Selangor diterajui oleh Pakatan Rakyat nampaknya tidak begitu adil dalam menangani isu-isu bencana alam yang telah menimpa rakyat negeri Selangor.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah dipetik sebagai mengeluarkan kenyataan tidak matang di bawah sewaktu rakyat di Klang ditimpa ribut:-

“Saya ada wakil rakyat dan Exco yang mengendalikan bantuan untuk mangsa dan saya sentiasa berhubung dengan mereka. Jadi, tidak perlu saya turun padang kerana ia membazirkan masa saya.

“Jika saya datang melawat, saya terpaksa membawa bersama 15 hingga 20 orang saya dan ini akan melibatkan kos kewangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan bencana kepada mangsa ribut di sini hari ini.

Itulah antara kata-kata tidak matang dan tidak sedap didengar yang telah diucapkan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, selaku Menteri Besar Selangor yang diucapkan kepada wartawan dalam mengulas tindakannya tidak turun padang melawat mangsa ribut pada 6 September 2008.

Tetapi lain pula halnya dengan mangsa di Bukit Antarabangsa yang begitu diberikan perhatian oleh Khalid.

Tindakan tidak adil oleh Kerajaan Negeri Selangor itu juga menarik satu kenyataan dari bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo yang meminta agar Kerajaan Negeri Selangor berlaku lebih adil dan memberikan bantuan sama rata kepada mangsa-mangsa tragedi seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya.

Tambah beliau lagi, "Bantuan yang diberikan kepada mangsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dilihat sekadar mencari populariti kerana kejadian tersebut mendapat liputan meluas media di peringkat nasional."

"Kita boleh lihat ada 'double standard' di situ kerana mereka yang lebih layak seperti mangsa ribut di Klang tidak mendapat sebanyak itu," katanya.

Keadaan mangsa-mangsa ribut di Klang juga lebih susah tetapi tidak mendapat bantuan yang tidak seberapa walaupun mereka yang lebih memerlukannya.

Mungkin juga kerana mereka hanya orang kampung yang tidak terkenal dan tidak mendapat liputan meluas seperti di Bukit Antarabangsa yang kebanyakkannya terdiri daripada golongan elit.

Saturday, December 20, 2008

Hak Melayu harus dipertahankan oleh pemimpin UMNO!

Forum seperti 'Hak -hak Melayu di Bawah Artikel 153' anjuran UMNO Bahagian Shah Alam yang telah diadakan pada 16 Disember 2008 wajar diadakan lagi agar orang Melayu tahu akan sejarah orang Melayu.

Pemimpin-pemimpin Melayu terutamanya harus berani berjuang dan tegas dalam mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu dan ahli UMNO harus memastikan itulah yang dilakukan oleh mereka.

Penceramah bagi forum tersebut adalah Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Prof Datuk Dr Ramlah Adam, tokoh sejarah dan juga Rektor Kolej Yayasan Melaka.

Datuk Tajuddin berkata sekarang ini pemimpin tak sanggup berhadapan dengan cabaran dan asakan dari musuh. Orang Melayu terutamanya ahli UMNO juga harus memastikan anak-anak mereka tidak menyertai pembangkang.

Pemimpin UMNO juga harus mengikis sikap mementingkan diri sendiri dan jangan pula ada yang merajuk atau mensabotaj calon UMNO dalam pilihan raya jika tidak terpilih.

Dalam pada itu, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata UMNO dengan cara tersendiri tanpa bergabung dengan Indonesia (seperti yang dikehendakkan oleh pemimpin-pemimpin Melayu berhaluan kiri) telah berjaya menentang Malayan Union dan juga mencapai kemerdekaan negara pada 1957.

Tambahnya, sejarah Kesultanan Melayu Melaka harus diketahui oleh orang Melayu serta berbangga dengannya kerana empayar di Nusantara itu menjadi asas kepada negeri-negeri beraja hari ini.

Beliau juga berkata kefahaman bahawa institusi raja adalah pelindung kepada rakyat harus dijelaskan kepada generasi muda kerana sesetengah dari mereka mempertikaikan keperluan institusi beraja di zaman sekarang.

Beliau memberi contoh tentang perkenan Sultan yang harus didapati sebelum perlantikan Menteri Besar sesebuah negeri.

Prof Datuk Dr Ramlah juga mencadangkan pelajar diwajibkan lulus mata pelajaran sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di samping pengeluar filem boleh mengeluarkan filem tentang kehebatan kesultanan Melayu seperti filem 'Elizabeth: The Golden Age' yang memaparkan kehebatan Ratu Elizabeth 1 pada zamannya.


Wednesday, December 17, 2008

Tuntutan gaji minimum RM1,500 tidak wajar!

Kerajaan Negeri Selangor telah di gesa oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bahagian Kuala Selangor, Mohd Faizal Baharuddin merangkap Exco AMK Negeri Selangor agar melaksanakan skim gaji minimum kepada kakitangan kerajaan negeri.

Ianya adalah selaras dengan manifesto pilihan raya serta janji Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi melaksanakan garis panduan had kemiskinan pada paras gaji minimum RM1,500.

Bercakap memanglah mudah... Tetapi nak melaksanakannya itu yang payah.

Sebelum melaksanakan apa yang boleh dikatakan perkara yang tidak munasabah itu, lihat dulu faktor-faktor lain kenapa kakitangan kerajaan negeri Selangor berpendapatan di bawah paras RM1,500.

Mungkin sesuai dengan jawatan yang dipegangnya. Mungkin itu adalah apa yang patut diterima oleh mereka selaras dengan pencapaian akademik mereka.

Bukan semua orang boleh menerima gaji RM1,500 kerana jawatan yang dipegang mereka dan kelulusan akademik mereka berbeza-beza antara satu sama lain.

Sebagai contoh adakah tingkat jawatan atau gaji seorang yang mempunyai PhD dengan orang yang hanya lulus SPM atau sijil harus sama?

Sebelum bercakap, fikir dulu perkara-perkara tersirat di sebaliknya. Jangan cakap ikut sedap mulut saja atau untuk mencari populariti murahan demi meraih sokongan rakyat.

Contoh lain walaupun seseorang itu sudah bekerja lama dan mempunyai pengalaman tetapi tidak mempunyai kelulusan, adakah dia mampu bersaing dengan graduan yang keluar universiti dan mempunyai pengalaman bekerja?

Tuesday, December 16, 2008

Tak payah mengada bukan Presiden US pun

Gerakan Reformis Rakyat Malaysia (Reformis) yang mengancam untuk berdemonstrasi bogel kerana membantah kenaikan sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) adalah semata-mata gimik dan untuk mendapatkan publisiti murahan.

Di manakah mereka sewaktu negara menghadapi masalah lebih getir dari itu, contohnya sewaktu harga petrol dan harga makanan yang melambung tinggi?

Suhaimi Shafiei pula memberikan satu cadangan di mana pemimpin-pemimpin tertinggi negara perlu sentiasa diiringi oleh pasukan keselamatan seperti anggota polis bagi menjamin keselamatan mereka ketika menghadiri majlis-majlis berikutan ancaman 'serangan bogel' Reformis untuk mengejar Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Cadangan itu memang baik tapi adakah Menteri-Menteri Besar adalah pemimpin-pemimpin tertinggi negara? Pemimpin-pemimpin tertinggi negara adalah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Dalam pada itu pula, Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor, berkata beliau tidak memerlukan khidmat anggota polis mengiringinya ke mana-mana program atau majlis yang dihadirinya kerana boleh menimbulkan jurang antara pemimpin dan rakyat.

Datuk Seri Khir Toyo sudah lamapun menghadiri majlis-majlis atau ke mana-mana pun tanpa ditemani oleh anggota polis. Inipun hendak dijadikan isu.

Tetapi, nanti jika apa-apa berlaku jangan pula menuding jari menyalahkan polis kerana polis lebih diperlukan oleh rakyat berbanding dengan pemimpin yang keselamatan mereka lebih terjamin oleh jagaan pengawal-pengawal peribadi mereka.

Monday, December 15, 2008

Teruskan Projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR)

Projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) oleh Tenaga Nasional (TNB) di Kampung Sungai Terentang, Rawang perlu diteruskan oleh Kerajaan Negeri Selangor yang kini diterajui oleh Pakatan Rakyat.

Ini adalah demi menyelamatkan Selangor daripada risiko bergelap akibat terputus bekalan elektrik. Oleh itu, kerajaan negeri perlu bertegas dan tidak menunduk kepada 'kedegilan' 20 keluarga daripada memikirkan risiko dan nasib penduduk Wilayah Tengah Semenanjung.

Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, selaku Ketua Pembangkang Selangor berkata, Tan Sri Khalid Ibrahim seharusnya mementingkan kepentingan awam dan tidak bersikap mengambil hati sekelompok kecil kerana tindakan itu akan memudaratkan sebahagian besar kawasan seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Klang, Serdang dan Putrajaya.

Projek CAR itu bagi meningkatkan bekalan elektrik ke Lembah Klang daripada 33 kiloVolt (kV) dan 125kV kepada 275kV adalah usaha TNB dan telah pun siap 98 peratus tetapi terpaksa ditangguh lebih setahun kerana baki 2 peratus lagi atau 1 kilometer dibantah oleh penduduk di Kampung Sungai Terentang yang tidak membenarkan tanah mereka diambil untuk menyiapkan projek itu.

Projek yang menelan kos kira-kira RM70 juta itu adalah projek pemasangan talian penghantaran elektrik berkenaan juga merupakan sebahagian daripada projek CAR yang turut meliputi projek menyalurkan bekalan elektrik ke perkampungan nelayan di Pulau Ketam melalui kaedah kabel bawah laut.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu bertanggungjawab jika banyak kilang ditutup selepas kerugian jutaan ringgit akibat tidak dapat beroperasi kerana tiada bekalan elektrik, ribuan rakyat hilang pekerjaan dan kerugian-kerugian lain hanya kerana membela rungutan 20 keluarga sehingga menjejaskan ribuan rakyat lain.