Friday, April 10, 2009

Kerajaan Negeri Selangor tamakkan dana di dalam Balkis


Nampaknya Kerajaan Negeri Selangor masih belum faham tentang isu Balkis sebenarnya.

Ataupun mungkin buat-buat tak faham disebabkan sudah buta mata melihatkan RM9.9 juta yang dimiliki Balkis?

Tapi hakikatnya itu adalah wang Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (BALKIS), iaitu isteri wakil-wakil rakyat BN/UMNO.

Jadi apa hak kerajaan negeri Selangor yang sekarang diterajui oleh Pakatan Rakyat terhadap dana di dalam Balkis?

Kalau nakkan sangat wang, tubuhkanlah badan amal sendiri di bawah nama Pakatan Rakyat.

Nik Nazmi Nik Ahmad, selaku setiausaha politik Menteri Besar Selangor berkata melalui pegawai undang-undang telah menulis kepada Jabatan Insolvensi Malaysia untuk mendapatkan kepastian status dana dimiliki Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (BALKIS).

Balkis bukan merupakan pertubuhan milik kerajaan negeri dan sudah tentu kerajaan negeri Selangor tidak ada hak ke atasnya.

Balkis ditubuhkan sebagai badan amal di bawah kawalan Pendaftar Pertubuhan. Segala laporan adalah dihantar terus kepada ROS bukan kepada kerajaan negeri.

Sepertimana yang pernah diterangkan sebelum ini di dalam laman web pembangkangselangor.com, Balkis mempunyai akaun yang berasingan bagi sumbangan kepada golongan yang perlu dibantu dengan akaun khas untuk kegunaan majlis-majlis anjuran Balkis.

Balkis juga akan memohon sumbangan khusus yang akan diperincikan dengan jelas untuk tujuan penganjuran acara atau majlis yang akan diadakan.

Berkenaan dengan pembelian pakaian sukan dan pakaian batik oleh Balkis, ianya telah ditaja oleh Permodalan Nasional Selangor Berhad (PNSB) secara khas untuk Sukan Tahunan Isteri-isteri Wakil Rakyat Se-Malaysia 2007.

Lebih 500 orang peserta dan petugas menerima pakaian sukan berjumlah RM158 ribu sumbangan tajaan PNSB dan RM121 ribu untuk baju batik sempena Sukan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Se Malaysia itu diberikan kepada semua peserta sukan dan para tetamu kehormat bagi majlis perasmian dan penutup yang dihadiri oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, semua anggota kabinet, para Menteri Besar dan EXCO kerajaan Negeri.

Program itu juga satu program yang besar kepada Selangor yang menjadi tuan rumah dalam tempoh masa 12 tahun dan juga ianya melibatkan persatuan isteri-isteri wakil rakyat di Malaysia.

Wednesday, April 8, 2009

Selcat digunakan untuk menyerang peribadi (ii)


Selcat juga tidak menyebutkan butir-butir lebih lengkap misalnya dalam jumlah kos lawatan ke Indonesia yang dikatakan hampir mencecah RM200 ribu itu, seramai hampir 63 orang delegasi telah turut serta.

Ianya tidak dinyatakan dalam sidang Selcat itu. Lawatan kerja ke Indonesia itu dilaksanakan pada 21 sehingga 24 April 2003 yang telah dianjurkan oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad.

Rombongan delegasi seramai 63 orang itu yang diketuai oleh YAB Dato' Seri Dr. Mohamad Khir Bin Toyo, telah membawa rombongan ke Yogyakarta, Solo dan Jakarta. Ianya turut disertai oleh Ahli-ahli EXCO Negeri Selangor, Timbalan Speaker DUN, Ahli-ahli Dewan Undangan dan Ahli-ahli Parlimen Negeri Selangor, Ahli-ahli Politik Negeri Selangor serta Pengurusan dan Pegawai PNSB.

Ramai pegawai dan perancang pembangunan mendapat ilmu baru di dalam pengurususan sungai, air dan pembangunan perbandaran baru untuk Lembah Klang Kedua, bukannya sekadar makan angin.

Hasil-hasil lawatan dan keberkesanannya pula akan diberikan laporan kepada Mesyuarat EXCO.

Jelas sekali dua tajuk iaitu "Agensi Kerajaan Biayai Lawatan Khir ke Disneyland" dari malaysiakini.com serta "RM1.7 million spent by Khir Toyo's entourage on Disneyland trip" oleh NST jelas berniat jahat serta memburukkan Datuk Seri Dr Khir Toyo.

Berlainan dengan fakta, PNSB bukannya satu agensi kerajaan.

Tajuk NST pula menunjukkan seperti Dr Khir "berpoya-poya" ke Disneyland menggunakan duit anak syarikat kerajaan negeri sebanyak RM1.7 juta.

Realitinya rombongan untuk melihat prospek membina Taman Tema di Bagan Lalang, Sepang adalah dari satu pasukan pegawai yang besar dan bukannya membawa keluarga.

Peliknya Selcat "menyumbat" kenyataan ke dalam mulut pegawai PNSB sehingga menimbulkan kekeliruan serta perasaan tidak puas hati umum.

Kenapa tidak membuat laporan SPRM jika benar perjalanan isteri Dato' Seri Dr Khir Toyo ke Australia dibayar oleh PNSB?

Tuesday, April 7, 2009

Selcat digunakan untuk menyerang peribadi


Amat menghairan kenapa Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) telah masuk campur ke dalam kewangan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Pada asalnya ianya hanyalah bertujuan melihat sumbangan anak syarikat kerajaan negeri kepada Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Selangor (Balkis).

Lebih teruk bila ianya pula hanya diambil bahagian-bahagian tertentu sahaja dan bukan secara keseluruhannya.

Fitnah bahasa PNSB diarahkan membayar perjalanan anak-anak dan pembantu rumah Datuk Seri Dr Khir Toyo adalah tidak benar.

PNSB hanya membayar untuk Datuk Seri suami isteri seperti amalan biasa dalam kerajaan dan perjalanan anak-anak beliau dan sesiapa sahaja yang lain tidak layak mendapat pembiayaan wang PNSB atau wang kerajaan.

Datuk Seri juga menyatakan kesediaan beliau membayar balik jika berlaku kekhilafan.

Persoalan pertama ialah kenapa isu ini ditimbulkan? Tidak lain tidak bukan hanya untuk memburukkan imej dan reputasi Datuk Seri Dr Khir Toyo di mata rakyat sedangkan hakikat sebenarnya diputar belitkan.

Berkenaan lawatan ke Morocco dan Perancis juga adalah menyimpang dari kebenaran kerana PNST tidak membiayai perjalanan anak-anak Datuk Seri Khir Toyo dan pembantu anak beliau kerana DatuK Seri telah membayar terus kepada agensi pelancongan terbabit.

Malahan disahkan juga agensi pelancongan itu mengaku tidak melakukan sebarang tuntutan bayaran atas nama anak-anak Datuk Seri Khir Toyo dan pembantu rumah beliau.

Mungkin umum tidak mengetahui bahawa Lembaga Pengarah PNSB akan diberikan satu perjalanan ke luar negara pada setiap tahun dan gantinya mereka tidak mengambil elaun bulanan.

Pasukan teknikal dan pelaburan, Pegawai Daerah dan Yang Di Pertua Majlis juga terbabit sama untuk membolehkan lawatan itu bermakna disamping mencari idea-idea baru memajukan negeri Selangor.