Saturday, December 20, 2008

Hak Melayu harus dipertahankan oleh pemimpin UMNO!

Forum seperti 'Hak -hak Melayu di Bawah Artikel 153' anjuran UMNO Bahagian Shah Alam yang telah diadakan pada 16 Disember 2008 wajar diadakan lagi agar orang Melayu tahu akan sejarah orang Melayu.

Pemimpin-pemimpin Melayu terutamanya harus berani berjuang dan tegas dalam mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu dan ahli UMNO harus memastikan itulah yang dilakukan oleh mereka.

Penceramah bagi forum tersebut adalah Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Prof Datuk Dr Ramlah Adam, tokoh sejarah dan juga Rektor Kolej Yayasan Melaka.

Datuk Tajuddin berkata sekarang ini pemimpin tak sanggup berhadapan dengan cabaran dan asakan dari musuh. Orang Melayu terutamanya ahli UMNO juga harus memastikan anak-anak mereka tidak menyertai pembangkang.

Pemimpin UMNO juga harus mengikis sikap mementingkan diri sendiri dan jangan pula ada yang merajuk atau mensabotaj calon UMNO dalam pilihan raya jika tidak terpilih.

Dalam pada itu, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata UMNO dengan cara tersendiri tanpa bergabung dengan Indonesia (seperti yang dikehendakkan oleh pemimpin-pemimpin Melayu berhaluan kiri) telah berjaya menentang Malayan Union dan juga mencapai kemerdekaan negara pada 1957.

Tambahnya, sejarah Kesultanan Melayu Melaka harus diketahui oleh orang Melayu serta berbangga dengannya kerana empayar di Nusantara itu menjadi asas kepada negeri-negeri beraja hari ini.

Beliau juga berkata kefahaman bahawa institusi raja adalah pelindung kepada rakyat harus dijelaskan kepada generasi muda kerana sesetengah dari mereka mempertikaikan keperluan institusi beraja di zaman sekarang.

Beliau memberi contoh tentang perkenan Sultan yang harus didapati sebelum perlantikan Menteri Besar sesebuah negeri.

Prof Datuk Dr Ramlah juga mencadangkan pelajar diwajibkan lulus mata pelajaran sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di samping pengeluar filem boleh mengeluarkan filem tentang kehebatan kesultanan Melayu seperti filem 'Elizabeth: The Golden Age' yang memaparkan kehebatan Ratu Elizabeth 1 pada zamannya.


No comments: