Tuesday, November 6, 2007

MB Selangor Anti-Kaum India?

Sejak isu perobohan setinggan Kampung Rimba Jaya bersama kuil dan surau dibuat oleh Majlis bandaraya Shah Alam minggu lalu, terdapat opportunis India yang mengedarkan sms menggambarkan Menteri Besar Selangor sebagai anti kaum India dan agam hindu.

Turut marah ialah Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu, yang menurut Malaysiakini.com, akan membatalkan semua sambutan perayaan Deepavali pemimpin MIC. Soalnya apakah benar Dr. Mohamad Khir anti kaum India?

Samy Vellu mungkin lupa bahawa beberapa bulan lalu, beliau juga yang menyatakan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo wajar dipuji kerana sentiasa memberi perhatian serius kepada pembangunan golongan belia India.

Ucapan puji-pujian ini datang ketika Dr. Mohamad Khir
mengumumkan peruntukan khas untuk pendidikan untuk kaum India di negara ini.


Malahan Dr. Mohamad Khir juga turut membantu mewujudkan Tabung Pendidikan Anak-Anak Pekerja Estet, Selangor serta memperkenalkan Program Pembangunan Insan Berkemahiran Teknikal pada tahun lalu. Semua ini adalah program khas kerajaan negeri Selangor untuk meningkatkan taraf hidup kaum India.


Pada 2006, seramai 152 belia India mengikuti kursus kemahiran dalam pelbagai bidang di INPENS International College, Pulau Indah dengan peruntukan yang disediakan kerajaan negeri sebanyak RM1 juta.

Malahan Samy Vellu sendiri mengakui Selangor di bawah pimpinan Dr. mohamad Khir merupakan negeri pertama mewujudkan program khas untuk belia India.

Aktivis Hindu yang menggambarkan Dr. Mohamad khir sebagai anti kaum India dan agama Hindu mungkin lupa bahawa di Selangor terdapat kuil hindu terbesar di Malaysia yang terletak di Batu Caves.

Mungkin itu bukanlah jasa Dr. Mohamad Khir kerana kuil tersebut telah sedia ada sejak dahulu. Namun lihat sahaja sumbangan dan bantuan prasarana yang disediakan oleh kerajaan negeri dan persekutuan kepada kuil tersebut.

Aktivis hindu yang terbabit juga perlu menyatakan kebenaran bahawa Dr. Mohamad Khir juga merupakan Menteri Besar Selangor yang mengumumkan peruntukan khas kepada semua agama termasuk agama Hindu.

Malahan ketika di Ijok tempoh hari boleh sahaja Dr, Mohamad Khir meletakkan calon Melayu atas alasan majoriti penduduk Melayu dan terdapat desakan jelas mahukan penukaran calon BN. Namun Dr. mohamad khir selaku Pengerusi BN Selangor turut mencalonkan calon MIC untuk pertimbangan YAB Perdana Menteri.

Adakah hanya kerana terdapat kuil Hindu yang dibina secara haram dirobohkan maka Mohamad Khir dianggap anti Hindu?

Terdapat juga surau yang dirobohkan kerana pembinaannya secara haram. Adakah ini menjadikan Dr. Mohamad Khir sebagai anti Islam?

Soalnya sebagai pentadbir negeri, Dr. Mohamad Khir perlu memastikan undang-undang dan peraturan sedia ada dipatuhi terutamanya membabitkan pembinaan bangunan atas tanah milik orang lain.

Jika kerajaan Selangor tidak bertegas dalam hal ini nescaya akan banyak lagi kuil hindu, surau dan tokong dibina sesuka hati tanpa mengambil kira kelulusan dan peraturan Pihak Berkuasa Tempatan. Ini akan mewujudkan keadaan tidak baik dan boleh mencetuskan perbalahan yang lebih besar.


Selangordaily.com---

No comments: