Thursday, December 6, 2007

Pelbagai Bantuan Pertingkat Kedudukan Kaum India Di Selangor Telah Dibuat

KUALA LUMPUR, 5 Dis -- Selangor yang merupakan antara negeri yang mempunyai penduduk India paling ramai, menjalankan pelbagai aktiviti untuk membangunkan kaum tersebut.

Antaranya, mewujudkan peruntukan khas untuk membantu remaja India dari keluarga miskin dan bermasalah menjalani kursus kemahiran teknikal, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo kepada Bernama di sini.

Beliau berkata dengan peruntukan RM1 juta setahun menerusi tabung bantuan pendidikan Pembangunan Insan Kemahiran Teknikal, ia bukan saja membantu remaja India tercicir dari arus pembangunan sosial negara, malah memberikan mereka keyakinan diri untuk mempertingkat kedudukan sosial mereka dalam masyarakat.

Katanya, kursus jangka pendek di Kolej Industri dan Pendidikan Negeri Selangor (INPENS) bukan saja memberikan belia India ini latihan dalam bidang kemahiran teknikal, tetapi mereka juga diberikan bimbingan keagamaan setiap hari Jumaat oleh guru agama mereka.

"Malah mereka turut diberikan wang saku sebanyak RM100 sebulan," katanya.

Program yang dimulakan pada 2006, dijalankan secara bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Yaysan Strategik Sosial dan Inpens, telah menunjukkan kesan positif dengan mengelakkan mereka terlibat dalam gejala sosial dan aktiviti tidak sihat.

"Sehingga Julai tahun ini seramai 101 orang telah berjaya menamatkan kursus pelbagai kemahiran dan seramai 148 lagi sedang mengikuti pengajian," katanya.

Kerajaan negeri Selangor turut mewujudkan Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Estet negeri Selangor untuk membantu anak-anak ini melanjutkan pelajaran ke periangkat lebih tinggi dikendalikan oleh Yayasan Selangor dengan peruntukan sebanyak RM1 juta setahun, katanya.

Mohamed Khir berkata terdapat sebanyak 13.1 peratus kaum India daripada 4.96 juta penduduk di Selangor.

Untuk itu, kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai peruntukan bagi membantu kaum ini termasuk untuk kuil didaftarkan sebanyak RM3 juta setahun.

Bagi yang berpendapatan rendah, mereka diberi peluang memiliki rumah kos murah, katanya.

1 comment:

Anonymous said...

saya sebagai india ingin bantuan kewangan. macamana nak tanya

sutharsan1912@yahoo.com