Wednesday, March 18, 2009

Usaha memburukkan komplot jahat!


Berkenaan sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas ke atas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) yang dijangka akan bersidang pada 23 sehingga 31 Mac ini, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo menyerahkan kepada peguam beliau samada akan hadir atau tidak untuk memberi kenyataan.

Tambahan lagi, Dr Khir berkata beliau masih lagi menunggu laporan siasatan penuh pihak polis berhubung pembubaran dan pemindahan dana Badan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) seperti yang didakwa oleh kerajaan negeri.

"Isu Balkis ini tidak ada kena-mengena dengan kerajaan negeri malah kita pernah disiasat oleh pihak polis berhubung perkara ini. Jadi, kita akan menunggu laporan penuh daripada pihak berkenaan mengenai perkara tersebut," katanya semalam.

Dr Khir juga mendakwa jelas terdapat komplot untuk menjejaskan reputasi beliau yang akan bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti tidak lama lagi berikutan kenyataan Teng Chang Kim, Speaker Dewan Undangan Negeri yang berkata saksi yang gagal hadir boleh dikenakan tindakan penjara 12 bulan atau denda tidak lebih RM3,000 mengikut Seksyen 3 Enakmen Penghinaan Dewan 2008.

"Ini semua peluang untuk mereka memburuk-burukkan nama saya lebih-lebih lagi pemilihan tersebut tidak lama lagi dan mereka sengaja memilih tarikh tersebut untuk mengganggu proses pemilihan itu.

"Berkemungkinan mereka takut saya akan menang nanti, " ujar beliau lagi.

Tentang keputusan Lembaga Disiplin UMNO yang mendapati beliau tidak bersalah, beliau amat berterima kasih kepada pihak berkenaan yang membersihkan nama beliau dari tuduhan politik wang.

"Saya amat bersyukur dengan keputusan berkenaan kerana selama ini saya bekerja keras dalam pertandingan berkenaan dan insya-Allah saya yakin akan menang dalam pemilihan tersebut," kata beliau lagi.

No comments: