Wednesday, January 7, 2009

Pendedahan S Manikavasagam

Setelah menjadi Ahli Parlimen, barulah merasai apa permasalahan yang dilalui oleh pemimpin yang sebelum ini hanya dipandang sebelah mata dan juga menjadi kritikan oleh pembangkang.

Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

Itulah realitinya apabila Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam menerangkan sebab-sebab kenapa dirinya meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor pada Disember baru-baru ini.

Dia menerangkan itulah sahaja cara untuk meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap beberapa keputusan yang telah diambil oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor.

Keluhan utamanya ialah tentang bagaimana dirinya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membuat aktiviti rakyat sedangkan pada pengetahuannya DUN Sementa ada menerima peruntukan RM370,000 dari kerajaan negeri.

Dalam pada itu juga dia kecewa dengan ketidak pekaan kerajaan negeri dengan nasib peniaga di perhentian bas lama di Klang yang ditutup kerana pemindahan pusat operasi bas ke Klang Sentral.

Tambahan lagi dia juga tidak tahan dengan gelagat Exco Kerajaan Selangor, Rodziah Ismail yang juga menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga yang dengan sewenang-wenangnya menggunakan dana untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa.

Dia juga hairan dengan tindakan Rodziah yang membuka sebuah pejabat di Sungai Kapar Indah dengan perbelanjaan ribuan ringgit yang kini diuruskan oleh beberapa individu yang pernah menghilangkan diri dalam pilihan raya lepas.

Jika ini adalah satu jenis penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan negeri yagn ditadbir oleh PKR, maka sudah menjadi tanggungjawab S Manikavasagam untuk melaporkannya kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) agar dapat menjalankan siasatan yang menyeluruh.

Jangan hanya berpeluk tubuh dan mengeluh berpanjangan tetapi tindakan yang sewajarnya harus diambil kerana kebajikan rakyat perlu dijaga dan itulah yang perlu diutamakan.

No comments: