Friday, July 17, 2009

Pergantungan tugas ADUN BN bermotifkan dendam!


Kelmarin, Dewan Negeri Selangor telah meluluskan usul menggantung keahlian Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo selama setahun manakala empat lagi wakil rakyat Barisan Nasional telah digantung selama enam bulan dimana semua keistimewaan mereka sebagai wakil rakyat ditarik balik sepanjang tempoh penggantungan.


Jelas terpampang bahawa tindakan menggantung Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor tersebut berserta empat yang lain itu adalah perbuatan membalas dendam terhadap Barisan Nasional yang sering menegur pemerintahan Pakatan Rakyat melalui media.

Itulah membuktikan Pakatan Rakyat suka bercakap tetapi tidak serupa bikin.

Sembunyi-sembunyi bunyi, kepala tersorok ekor kelihatan.

Apakah Barisan Nasional sebagai pembangkang di negeri Selangor tidak boleh menegur langsung apa-apa kepincangan yang dilakukan oleh wakil rakyat dari Pakatan Rakyat?

Adakah mereka begitu maksum sehingga tak boleh ditegur dan terus menggantung wakil pembangkang yang memberi teguran kepada mereka?

Datuk Noh Omar, selaku Timbalan Pengerusi BN Selangor berkata, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menunjangi kerajaan negeri itu tamakkan kuasa, melanggar prinsip demokrasi, kebebasan bersuara dan keadilan yang diwar-warkan oleh mereka selama ini.

"PKR bercakap soal demokrasi dan kebebasan bersuara sebelum berkuasa tetapi apabila berkuasa mereka lebih suka mengamalkan pemerintahan diktator dan mahu menunjuk kuasa. Jadi di mana seruan demokrasi dan keadilan yang dilaungkan dulu.

"Ini jelas menunjukkan pakatan pembangkang yang menang di Selangor tidak boleh ditegur... apabila ditegur mereka terus melatah dan mengambil tindakan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN sedangkan mereka ini mewakili dan menyuarakan pendapat rakyat," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Exco Pertanian Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

"BN tidak mengambil tindakan begitu kejam terhadap wakil rakyat pembangkang sebelum ini walaupun mereka gagal hadir memberi keterangan kepada Jawatankuasa Hak Asasi dan Kebebasan Parlimen," katanya.

"Malah, Dewan Rakyat hanya mengambil tindakan mencela terhadap Karpal Singh (Ahli Parlimen DAP-Bukit Gelugor) yang gagal memberi keterangan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung kes beliau diserang Pemuda Umno Selangor," katanya.

Hukuman yang begitu keras ke atas wakil pembangkang negeri Selangor itu dilihat begitu keras dan mempunyai motif politik.

No comments: