Thursday, July 1, 2010

RM 150 Ribu Untuk Iklan Muka Othman Omar

Menurut Sinar Harian, PKNS mengesahkan bahawa mereka berbelanja sakan untuk untuk iklan hari raya Pengurus Besar PKNS di TV3 pada tahun lalu. RM 150 ribu untuk bayar iklan muka Othman Omar di TV3 tanpa ada satu pun produk PKNS yang dimuatkan bersama dalam tayangan tersebut.

Orang ramai tidak ada masalah jika PKNS mahu mengiklankan projek hartanah beliau. Jangan katakan RM 150 ribu, RM 1.5 juta pun boleh jika berbaloi dan justifikasinya wajar. Masalah sekarang ialah tidak masuk akal untuk PKNS mengiklan muka Pengurus Besarnya, tanpa sebarang produk untuk dijual, yang memakan kos beratus ribu.

Jika buat kad hari raya sekitar RM 10 ribu mungkin boleh diterima akal. Namun RM 150 ribu untuk iklan muka Othman Omar satu perkara tidak masuk akal. Apa rasionalnya? PKNS bukan syarikat sendirian berhad atau harta persendirian milik Othman Omar. Lebih mengecewakan ialah wang iklan tersebut merupakan hasil usaha kerajaan Barisan Nasional. Othman hanya masuk dan menghabiskan wang PKNS untuk menayangkan mukanya di khalayak awam. Apa keuntungan kepada PKNS?

Inikah yang dikatakan perbelanjaan jimat cermat dan berhemat yang dijanjikan oleh PKR?

Peruntukan iklan PKNS hanya RM150,000

SHAH ALAM - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menafikan dakwaan mengatakan syarikat berkenaan menggunakan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk membeli iklan ucapan ‘Selamat Hari Raya’ daripada Pengurus Besar PKNS yang baru, Othman Omar yang disiarkan di stesen TV3 pada tahun lalu.

Sebaliknya, PKNS hanya menggunakan RM150,000 untuk iklan berkenaan.

Pegawai Perhubungan Awam PKNS, Mohd Wazir Abdul Ghani berkata, PKNS memang mempunyai peruntukan khas untuk membuat sebarang iklan di mana-mana media termasuklah di stesen TV berkenaan.

“Kita tidak nafikan yang kita memang membuat iklan tersebut tetapi peruntukan hanya melibatkan sebanyak RM150,000 sahaja. Lagipun kita memang ada bajet khas untuk membuat iklan di mana-mana saluran media di negara ini.

“Kita juga sedia maklum iklan di stesen TV agak mahal. Jadi pihak berkenaan tidak perlu pertikai mengenai perkara itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan sebuah blog, Selangordaily yang mengatakan PKNS menggunakan peruntukan sebanyak RM500,000 semata-mata untuk membeli iklan ucapan ‘Selamat Hari Raya’ daripadaPengurus Besar PKNS yang baru, Othman Omar.

Menurut laporan portal itu, PKNS telah menggunakan peruntukan berkenaan untuk iklan di stesen TV3 selepas Buletin Utama sepanjang minggu tahun lalu semata-mata untuk menunjukkan ‘muka’ Pengurus Besar berkenaan sedangkan PKNS tidak pernah mengiklankan sebarang produknya di stesen berkenaan sebelum ini.

Mengulas mengenai dakwaan itu, Mohd Wazir berkata, sebagai sebuah syarikat konglomerat, PKNS sememangnya menggunakan saluran berkenaan untuk menaikkan imej syarikatnya.

“Iklan TV adalah cara paling berkesan untuk mempromosikan imej syarikat dan perkara ini sudah biasa digunakan oleh syarikat-syarikat konglomerat yang lain.

“Sebelum ini kita pernah mengiklankan projek hartanah di stesen tv serta akhbar-akhbar lain. Jadi, tidak perlu timbulkan isu ini,” katanya.

No comments: